Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah melimpahkan rahmatNya kepada kita dan dipanjangkan usia untuk menyambut 1 Muharram 1431H dengan tema “Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah” pada kali ini.
Hijrah membawa pengertian yang amat besar dan luas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah (Hadis riwayat Abu Dawud). Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Hari ini kita menggunakan perkataan transformasi yang boleh menggarap konotasi sinonim dengan maksud hijrah.
Mengambil pendekatan hijrah dan transformasi ke arah yang lebih baik, pada April 2009, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah melancarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bertujuan untuk mentransformasi kerajaan dan meningkatkan kualiti hidup semua rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju sepenuhnya. Ini akan dihasilkan dengan penggunaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sedang dilaksanakan di semua Kementerian termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Untuk terus fokus kepada sistem KPI, enam (6) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah dikenalpasti untuk memandu pengurusan dan pelaksanaan transformasi Kerajaan secara keseluruhan serta mencapai kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara seterusnya Wawasan 2020.
Hijrah dalam konteks Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti yang kita sayangi ini, memberi pengertian transformasi anjakan minda. Untuk merealisasi anjakan minda, lonjakan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru perlu digarap sepenuhnya.
Menyingkap kembali kepentingan penciptaan kalendar Hijrah, ianya merupakan suatu inovasi pembangunan tamadun ummah yang tinggi sebenarnya. Pembangunan yang direncanakan dalam Islam bukan sahaja holistik malah ianya tepat dari aspek fizikal dan spiritual, kebendaan dan kerohanian. Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumbernya. Umat Islam wajib menyedarinya dan perlu lebih fokus kepada setiap keadaan dan suasana.
Sebagai contoh, setiap kali tiba 1 Muharram, kita akan dikhabarkan peristiwa Rasulullah bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar diselamatkan oleh labah-labah. Tetapi, apakah pengajaran di sebalik peranan labah-labah tersebut? Pernahkah kita menganjak berfikir apa istimewanya makhluk ini? Apakah hanya semata-mata sebagai ikon sambutan Maal Hijrah? Dikala masyarakat Islam masih lagi saban tahun bercerita tentang kisah labah-labah sebagai penyelamat, para saintis Barat telah membuat kajian terperinci tentang labah-labah. Hasil kajian dan dapatan yang mereka perolehi ialah air liur labah-labah merupakan suatu elemen yang sangat kuat dalam melindungi sesuatu benda. Apabila dibuat perbandingan didapati bahawa baju daripada air liur labah-labah didapati lebih kuat daripada baju yang dibuat daripada besi keluli. Ini kerana baju yang dibuat daripada air liur labah-labah adalah kalis peluru berbanding besi keluli. Jadi, apakah perbezaan antara cara berfikir masyarakat kita dengan orang di Barat?
Ringkasnya, masa depan kita adalah cermin diri kita, jadi kita berhak menentukannya. Kini sudah tiba masanya untuk kita mentransformasi diri ke tahap yang lebih tinggi sehingga mencapai suatu keberhasilan yang lebih memberangsangkan. Saya menyeru untuk sama-sama menyahut agar seluruh warga USIM terus bertekad membuat lonjakan perdana dan anjakan minda dalam konteks kecemerlangan pengurusan, pengukuhan budaya intelektual dan ilmu serta penambahbaikan berterusan terhadap kualiti sedia ada.
Sempena sambutan Maal Hijrah 1431H ini, marilah kita berazam sebagai warga USIM, menanam tekad dan mengumpul semangat untuk kita berhijrah minda dan budaya.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 1431 Hijrah kepada seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia.
USIM BERTEKAD GEMILANG.
Salam Hijrah dan Salam Transformasi Minda.
“BERILMU, BERDISIPLIN DAN BERTAKWA”
Yang benar,
PROFESOR DATO’ DR. MUHAMAD MUDA
Naib Canselor
Universiti Sains Islam Malaysia
Leave a Comment
No comments yet.
Comments RSS TrackBack Identifier URI

